Tuesday, June 28, 2011

Selamat Menyambut Israk Mikraj 1432 Hijrah


Bismillahirrahmanirrahim..

Sempena menyambut peristiwa Israk Mikraj 1432, aku update sikit blog ni tentang cerita-cerita dan pengajaran untuk mengingatkan diri aku sendiri dan dikongsikan kepada sesiapa yang nak baca. Terlebih dahulu kita hadiahkan al-Fatihah kepada Rasulullah S.A.W.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab setahun sebelum hijrah di mana Rasulullah menerima perintah Solat Fardu 5 waktu.

Israa' bererti (perjalanan pada malam hari), kerana peristiwa di mana Rasulullah S.A.W. dibawa menaiki Burak pada malam hari dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Palestin.
Firman Allah dalam surah Al-Israa' (ayat 1) :

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, agar Kami memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Israa: ayat 1) - Rujukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman



Mikraj bermaksud naiknya Nabi S.A.W ke langit dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.
Firman Allah dalam Surah An-Najm ayat 13 - 18:

"Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi . Di sisi "Sidratul-Muntaha"; . Yang di sisinya terletak Syurga "Jannatul-Ma'wa" . (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali inilah) semasa "Sidratul-Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga . Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas . Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) TuhanNya ." (Surah an-Najm: ayat 13-18) - rujukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.


Ringkasan Cerita

Sepanjang perjalanan Isra' Mikraj baginda ditemani Jibril dan pelbagai perkara yang dilihat Rasulullah tentang balasan orang yang membuat baik dan membuat kemungkaran. Setelah sampai ke Sidratul Muntaha, baginda Rasulullah berangkat ke Arsy Arrahman menuju ke Hadratul Azzawajalla untuk menerima perintah Allah iaitu menerima Fardu Sembahyang sebanyak 50 waktu sehari semalam ke atas baginda dan umatnya. Lalu turun baginda mendapatkan Jibril dan ketika di langit keenam baginda berjumpa Nabi Musa a.s. yang bertanyakan perintah diterima. Lalu Nabi Musa berkata supaya Rasulullah S.A.W kembali mengadap Hadrat Azzawajalla untuk membuat permohonan agar perintah 50 waktu dikurang. Allah S.W.T memperkenankan untuk mengurangkan 10 waktu, maka tinggallah 40 waktu.

Nabi Musa merayu lagi supaya Rasulullah membuat rayuan, dan berulang alik Rasulullah ke Hadratul Azzawajalla hingga perintah fardu sembahyang tinggal 5 waktu.

Begitulah sedikit ringkasan cerita tentang peristiwa Israk Mikraj di mana bermulalah fardu sembahyang 5 waktu sehari semalam ke atas semua umat Muhammad. Renung-renungkanlah, andai 50 waktu sehari semalam, sememangnya berat untuk kita laksanakan, contoh (24 jam / 50 waktu = 0.48) bererti setiap 0.48jam kita kena solat (secara kiraan purata). Persoalannya, adakah kita mampu? 5 waktu pun adakalanya kita tertinggal dengan sengaja mahupun tak sengaja.

Akhir kata, peristiwa Israk Mikraj banyak pengajarannya untuk diambil ikhtibar. Ampun maaf jika terdapat kesilapan. Maaf sekali lagi kerana banyak lagi kisah ketika peristiwa Israk Mikraj yang tidak diceritakan.

Sekadar coretan untuk mengingati dan menasihati diri sempena menyambut peristiwa Israk Mikraj pada malam ini.


Wassalam.




p/s: Sebenarnya aku pun tak ingat malam ni Israk Mikraj kalo takde yang tolong ingatkan tadi...

No comments:

Post a Comment